Sunday, 1 June 2014

Kembara Infak Kemboja

Assalamu`alaikum wbt sahabat-sahabat yang dimuliakan.

Kembara Infak Kemboja 1435H.

Terimakasih kerana tuan-tuan sudi melawat blog ini. Untuk pengetahuan semua pihak, pada tahun ini kami sekali lagi akan meneruskan program Kembara Infak Kemboja seperti tahun-tahun yang lalu.  Pada tahun ini pihak kami akan melipat gandakan lagi usaha untuk membantu rakyat di Kemboja yang sangat-sangat memerlukan bantuan daripada orang ramai.

Kita semua sudah sedia maklum, jika  di Malaysia, kita mempunyai  banyak badan-badan kebajikan seperti Baitumal, Badan Kebajikan Masyarakat, pelbagai Yayasan2 dan sebagainya. Jika ada berlaku sebarang musibah, in sya Allah mangsa akan cepat mendapat bantuan dari pihak berwajib dan juga bantuan daripada masyarakat setempat. Pihak kami juga menyalurkan beberapa bantuan (sekadar yang termampu) kepada rakyat Malaysia yang memerlukan jika terlibat dengan bencana alam dan musibah setelah kami sendiri membuat siasatan dan mendapat pengesahan.

Berbeza dengan suasana di Kemboja,  penduduk di sana belum lagi mempunyai tabung khas. Rakyat mereka sendiri tidak berkemampuan untuk menderma. Oleh itu, jika kita ada sedikit lebihan, marilah sama-sama kita membantu rakyat di sana melalui Sekretariat Kembara Infak Kemboja.

Kita bersyukur dan berterimakasih kerana telah ada lagi pertubuhan lain yang sedang berusaha membantu, tetapi ini masih tidak mampu lagi untuk menampung keperluan. Oleh itu, pihak kami jadikan ini salah satu usaha untuk melaksanakan tanggungjawab membantu rakyat miskin, bukan sahaja di kemboja, malah di mana-mana sekali pun.

Bantuan, sumbangan atau sedekah boleh dilakukan dengan menginfak sebahagian rezeki yang dikurniakan oleh Allah swt pada kita. Jumlah sumbangan ini mungkin kecil tetapi amat bermakna bagi rakyat yang sangat-sangat memerlukan.  

Pihak kami merayu kepada semua pihak untuk membantu misi kami ini walaupun hanya bersedekah sebanyak RM1 untuk sekali sahaja seumur hidup bagi memenuhi keperluan rakyat Kemboja. Semoga Allah swt membalas jasa-saja kalian dengan balasan yang berlipat ganda.

Antara tugas Sekretariat Kembara Infak Kemboja adalah untuk mengagihkan sumbangan ke lokasi dan sasaran yang tepat berdasarkan lapuran. Pihak kami tidak dapat menyerahkan bantuan kewangan secara online di Kemboja. Jika di Malaysia, apabila berlakunya malapetaka, biasanya hampir majoriti mangsa mempunyai nombor akaun dan kad bank sendiri. Ini memudahkan kita untuk menyalurkan bantuan. Tetapi majoriti penduduk-penduduk di Kemboja  pula tidak mempunyai kemudahan ini, maka pihak kami mengambil inisiatif untuk menghulurkannya sendiri bantuan ini kepada kumpulan sasaran  yang ditetapkan, malah kadang-kadang  nyawa menjadi taruhan kerana sentiasa diawasi oleh pihak tentera-temtera. Sokonglah dan bantulah kami.

Sudah sedia maklum, kami bersyukur kerana terdapat beberapa jemaah-jemaah lain yang sanggup berkorban masa,  tenaga dan wang ringgit  untuk menyalurkan bantuan, tidak kiralah dari sudut dan konsep yang macam mana diusahakan. Yang pentingnya adalah, alhamdulillah kerana semua sumbangan telah sampai ke sasarannya seperti yang dirancangkan sebelumnya. Seluruh penduduk-penduduk di bumi Kemboja mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia dan juga lain-lain negara yang tidak putus-putus memberi sumbangan dari masa ke semasa.

Infaklah sebahagian dari rezeki anda. Sesungguhnya rezeki itu tidak akan sia-sia dan tidak pula berkurangan kerana disamping mendapat balasan pahala di akhirat, di dunia lagi Allah telah menggantikan dengan lebih baik dan berlipatkali ganda. Yakinlah dan berikhlaslah. Kami juga ingin berkongsi perasaan dengan pelawat semua betapa gembiranya dan sayunya hati kami apabila setiap sumbangan yang diterima disambut oleh mereka dengan linangan air mata kegembiraan…Allahuakbar. Tahukan anda!.. mereka menganggap anda semua umpama ‘Malaikat’ kerana walaupun TANPA ada pertalian darah dan TIDAK kenal rupa tetapi anda semua sanggup menghulurkan bantuan yang penuh bermakna…Amin..Amin..Amin..

Sessi Program Kembara Infak Kemboja ini dilaksanakan  pada hari sambutan Hari Raya Aidil Adha setiap tahun, iaitu pada hari Raya Haji. Tujuannya adalah pihak kami ingin menyalurkan daging ibadah qurban ini pada sasaran yang lebih memerlukan dan lebih tepat. Ditempat kita di Malayisa, pada kebiasaannya, daging qurban akan diedarkan kepada sesiapa sahaja. Perkara ini sebenaranya bertentangan dengan hukum syarak.

Daging qurban sepatutnya hendakah diedarkan pada mereka yang benar2 fakir miskin dan memerlukannya. Kita biasa menerima daging qurban,  ada pihak yang menyimpan berbulan-bulan lamanya dalam peti sejuk. Ramai penerima pula yang masih terdapat dalam peti sejuk mereka pelagai lauk seperti ikan tomgkol, daging ayam, udang, kerang dan sebagainya. Mereka ini tidak layak menerima daging qorban. Ada daging yang disangkut sahaja di pagar rumah oleh ahli kariah setempat. Malangnya daging itu membusuk dan berulat-ulat sebab penghuni rumah tidak ada di rumah kerana bertugas diluar tanpa pengetahuan ahli kariah.

Berbeza dengan rakyat di Kemboja, hari ini kita edar pada mereka, hari ini juga habis selesai di makannya anak beranak kerana mereka memang tidak cukup makanan.

Harapan kami, semoga pada kali ini kita berQurban pada sasaran yang tepat dan memenuhi hukum syarak. Wallahualam.

Antara program yang akan dijalankan adalah:-

a.        Qurban
b.        Aqiqah
c.         Pemeriksaan Kesihatan dan agihan ubat2an.
d.        Majlis khatan beramai-ramai.
e.         Tazkirah makanan halalan thoyibban.
f.         Baikpulih surau dan masjid.
g.        Sumbangan mesin bowring (gerudi perigi).
h.        Sumbanan mesin generator dan lain-lain.

[ (a), (c) dan (f) adalah program utama setiap tahun ]

Penyumbang yang berhasrat untuk menyertai delegasi kami adalah sangat dialu-alukan. Program ini diuruskan seawal yang mungkin adalah untuk membuat beberapa persediaan penting kerana ia melibatkan kakitangan Perubatan (doktor-doktor dan pembantu kesihatan) dan lain-lain yang akan turut membantu merealisalikan program ini, pengumpulan dana sumbangan, pemungkusan ubat-ubatan, penagihan kerja dan sebagainya. Begitu juga dengan lembu-lembu qurban atau kambing aqiqah wajib dipelihara dengan baik menurut hukum syarak, bukannya diambil sesuka hati di saat-saat akhir ketika majlis qurban atau aqiqah hendak dijalankan.  Ini bermakna, binatang-binatang ini perlu dibeli seawal mungkin dan dipelihara semata-mata untuk tujuan qurban dan aqiqah.

Ada juga berlakunya kes lembu curi, lembu pencen (cacat) atau lembu yang diambil di saat akhir iaitu lembu yang liar, bukan lembu yang dijaga dengan baik pemakanannya dan kesihatannya untuk digunakan penyembelihan semasa majlis. Jika perkara ini berlaku bermakna ianya bertentangan dengan hukum syarak. Hati-hati ya.

In sya Allah, program ini akan diteruskan setiap tahun kerana masih ramai rakyat Malaysia yang prihatin dengan penderitaan orang lain walaupun berlainan negara, agama dan bangsa.

Untuk mendapat keterangan lanjut dan mengimbas sejarah program ini, maka silalah melawat blog Kembara Infak Kemboja di alamat berikut:-

http://kembara-kemboja.blogspot.com


Jazakumullah.

Dato` Md Lutfi Bin Yusof.